Pages

Wednesday, March 3, 2010

LEMBARAN SIRAH RASULULLAH

Lembaran SirahMu...


Sempena sambutan Maulidur Rasul SAW yang akan tiba pada hari Jumaat ini, 26 Februari 2010, bersamaan 12 Rabiulawal 1431H, di sini saya ingin menukilkan satu peristiwa yang menunjukkan kasih sayang luar biasa para sahabat terhadap Rasulullah SAW. Para sahabat begitu cinta dan sayang kepada Rasulullah SAW. Hasil daripada kesan kecintaan dan kasih sayang para sahabat terhadap Rasulullah SAW sehinggakan para sahabat tidak akan senang, sekalipun leher mereka patah, mereka tetap akan bertanyakan tentang Rasulullah SAW. Begitulah mendalamnya kasih sayang para sahabat terhadap Rasulullah SAW. Berikut salah satu kisahnya.

Pada suatu hari, Saidina Abu Bakar dipijak dan dipukul orang semasa di Mekah. 'Utbah bin Rabi'ah menghampirinya dan memukulnya dengan sepasang kasut yang bersalut besi sehingga mencederakan mukanya. Darah yang mengalir sehinggakan wajah Saidina Abu Bakar tidak dapat dibezakan daripada hidungnya.

Disebabkan keadaannya yang parah, maka Bani Tayyim mengusung Saidina Abu Bakar dengan berselimutkan sehelai kain sehingga mereka memasukkannya ke dalam rumahnya. Keadaannya yang parah itu menyebabkan mereka tidak ragu lagi yang dia akan mati. Tetapi pada sebelah petangnya dia mula berbicara, seraya berkata: "Apakah yang diperlakukan terhadap Rasulullah SAW?". Lalu mereka menutup mulutnya dan menegurnya.

Kemudian mereka bangun dan berkata pada ibunya Ummu al-Khayr. "Perhatikanlah dia, dan berikanlah dia sedikit makanan atau minuman". Setelah yang tinggal hanya dia dan ibunya, maka ibunya mendesak dia makan, tetapi Saidina Abu Bakar hanya berkata: "Apakah yang diperlakukan terhadap Rasulullah SAW?" Ibunya menjawab: "Demi Allah, aku tidak mengetahui apa yang terjadi kepada sahabatmu". Kata Saidina Abu Bakar: "Pergilah bertemu kepada Ummu Jamil binti Al-Khattab dan tanyakanlah dia tentang Rasulullah SAW".

Pergilah ibunya kepada Ummu Jamil seraya bertanya: "Abu Bakar bertanyakanmu tentang Muhammad bin Abdulullah". Jawab Ummu Jamil: "Aku tidak tahu hal Abu Bakar atau Muhammad bin Abdullah, kalau mahu biarlah aku pergi bersamamu untuk bertemu anakmu itu". Jawabnya: "Baiklah".

Lalu Ummu Jamil pun pergi bersama ibu Saidina Abu Bakar sehingga sampai dan didapatinya Saidina Abu Bakar dalam keadaan parah. Ummu Jamil menghampirinya seraya menjerit: "Demi Allah, sesungguhnya kaum itu memperlakukan begini terhadapmu bagaikan perlakuan orang fasik dan kufur. Demi Allah aku mengharapkan Allah akan membalas bagimu terhadap mereka".

Saidina Abu Bakar bertanya: "Apakah yang diperlakukan terhadap Rasulullah SAW?" Jawab Ummu Jamil: "Ini ibumu, dengarlah cakapnya". Jawab Abu Bakar: "Kamu tidak ada sebarang tanggungjawab terhadapnya". Kata ummu Jamil: "Dia (Muhammad) sihat sejahtera". Abu Bakar bertanya: "Di mana dia?" Jawab Ummu Jamil: "Di rumah Ibn al-Arqam". Kata Abu Bakar: "Sesungguhnya aku bernazar kepada Allah tidak akan merasai makanan atau minum sebarang minuman sehingga aku dapat bertemu Rasulullah SAW". Lalu mereka melambat-lambatkan urusannya, sehingga keadaan Abu Bakar beransur pulih dan keadaan di luar semakin tenang, mereka berdua keluar memapah Abu Bakar sehingga dibawanya bertemu Rasulullah SAW.
(Al-Bidayah Wa al-Nihayah, 3/30)

Semoga Allah SWT meletakkan hati kita mencintai Rasulullah SAW sepertimana para sahabat Rasulullah SAW.
---------------------------------------------------------------------------
Orang yang imannya paling menakjubkan adalah kaum yang akan datang sesudah kalian.
Mereka beriman kepadaku walaupun mereka tidak melihatku.
Mereka membenarkan aku tanpa pernah melihatku.
Mereka amalkan apa yang ada dalam tulisan itu (Quran dan Hadits).
Mereka bela aku seperti kalian membela aku.
Alangkah ingin berjumpanya aku dengan ikhwanku itu”.
(Petikan Hadis Rasulullah SAW)
-----------------------------------------------------------------------------
Semoga kita terdiri daripada salah seorang yang dimaksudkan dalam hadis diatas.
"Aku Redha Allah Tuhanku,
Islam Agamaku
dan Muhammad Nabi dan Rasulku".
Amin.
Anda mungkin juga meminati:

MENCUCI HATI

Petua Mencuci Hati oleh Datuk Dr Haji Fadzilah Kamsah


Segala aspek kehidupan ini bermula daripada hati. Oleh itu di bawah ini ada beberapa cara bagaimana hendak mencuci hati. Diolah oleh pakar motivasi Datuk Dr. Haji Fadzilah Kamsah.

1. Dirikan solat dan banyakkan berdo'a - Ini adalah salah satu kaedah yang sungguh berkesan. Semasa berdo'a turut katakan "Ya,Allah jadikan hatiku bersih"

2. Selawat keatas Nabi Muhammad s.a.w paling minima 100 X sebelum tidur - Ini merupakan satu pelaburan yang mudah dan murah. Disamping dosa-dosa diampunkan, otak tenang, murah rezeki, orang sayangkan kita dan mencetuskan semua perkara kebaikan.

3. Solat taubat - Selain daripada memohon keampunan, dapat mencuci hati dan menenangkan minda.

4. Membaca Al-Quran - Selain dapat mencuci hati juga menenangkan jiwa, penyembuh, penenang, terapi. Sekurang- kurangnya bacalah "Qulhu-allah" sebanyak 3X.

5. Berma'af-ma' afan sesama kawan setiap hari - Semasa meminta maaf perlu sebutkan.

6. Bisikan kepada diri perkara yang positif - Jangan sesekali mengkritik, kutuk diri sendiri, merendah-rendahkan kebolehan diri sendiri. katakan lah "Aku sebenarnya.. ....(perkara yang elok-elok belaka)

7. Program minda/cuci minda - Paling baik pada waktu malam sebelum tidur, senyum, pejam mata, katakan di dalam hati "Ya, Allah cuci otak aku, cuci hatiku, esok aku nak jadi baik, berjaya, ceria, bersemangat, aktif, positif". Menurut kajian saikologi, apa yang disebut sebelum tidur dapat dirakamkan sepanjang tidur sehingga keesokan harinya

8. Berpuasa - Sekiranya dalam berpuasa, terhindar dari melakukan perkara-perkara kejahatan.

9. Cuba ingat tentang mati (Sekiranya hendak melakukan sesuatu kejahatan, tidak sampai hati kerana bimbang akan mati bila- bila masa).

10. Kekalkan wuduk.

11. Bersedekah.

12. Belanja orang makan.

13. Jaga makanan - jangan makan makanan yang subhat.

14. Berkawan dengan ulama.

15. Berkawan dengan orang miskin (menginsafi) .

16. Pesan pada orang, jadi baik.

17. Menjaga pacaindera (mata, telinga, mulut...dsb) , jangan dengar orang mengumpat.

"sampaikanlah pesanan ini walaupun 1"