Pages

Thursday, June 3, 2010

MARI BERSELAWAT


Mari Selawat Dan Salam Ke Atas Nabi Selepas Solat
« pada: Mei 31, 2010, 06:59:15 »
A. Pendahuluan: Kepentingan Selawat

Sebagaimana yang diterangkan mengikut dalil-dalil ayat dan hadis, bahawa selawat kepada Nabi S.A.W. adalah merupakan satu ibadah yang mulia dan amalan yang terpuji. Oleh itu kaum Muslimin sangat dianjurkan agar sentiasa membawa selawat kepada Nabi S.A.W. dengan penuh keimanan dan keikhlasan, kerana ianya mempunyai keutamaan dan fadhilat yang amat besar.

Dalam konteks ini saya mengajak semua pembaca kepada membaca selawat sebagai satu amalan zikir selepas solat yang akan saya terangkan selepas memaparkan artikel ini.

Nabi S.A.W. adalah seorang Nabi dan Rasul Allah yang mempunyai keutamaan, kedudukan dan darjat yang tinggi di sisi Allah dengan memiliki sifat-sifat kemulian dan keagungan yang sempurna berbanding dengan para Nabi dan Rasul Allah yang lain.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: "Sesungguhnya engkau (Muhammad) mempunyai akhlak yang agung (mulia)."  (Surah Al-Qalam:4) Firman Allah S.W.T. lagi yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah S.W.T. dan para Malaikat-Nya berselawat kepada Nabi. Maka, wahai mereka yang beriman berselawatlah kamu kepadanya dan ucaplah salam penghormatan kepadanya dengan sebaik selawat dan salam." (Surah Al-Ahzab:56)

Allah S.W.T. yang Maha Pengasih lagi maha Penyayang telah memperlihatkan betapa kasih dan sayangNya kepada Nabi S.A.W. dengan berselawat kepadanya sebagai pujian-Nya dan memuliakan serta mengutamakan Nabi S.A.W. di hadapan para malaikatNya.

Para malaikat juga turut melahirkan keutamaan ke atas Nabi S.A.W. dengan mendoakan, mengucap selawat dan memohon keampunan baginya. Kaum Muslimin sebagai umat Nabi S.A.W. berkewajipan melahirkan rasa kasih, pujian, sanjungan dan penghormatan yang tinggi kepada beliau, kerana kedudukan dan kemuliannya melebihi para Nabi dan Rasul a.s dengan memperbanyakkan ucapan selawat dan salam sebagai memperkuatkan iman serta berpegang teguh kepada sunnah dan mengamalkan segala ajarannya sebagai pedoman hidup.

Sabda Nabi S.A.W. "Tidak sempurna iman seseorang dari kamu sehingga aku lebih dicintai olehnya daripada ia mencintai anaknya, orang tuanya dan manusia seluruhnya." (Hadis Riwayat Ahmad, Al-Bukhari, Muslim, At-Tirmizi, An-Nasaie dan Ibnu Majah)

Dengan membaca selawat kepada Nabi S.A.W., setiap doa dan amalan-amalan yang lain akan diterima oleh Allah. Jesteru itu selawat memainkan peranan penting dalam segala amalan hidup kerana ianya dapat mempengaruhi keberkatan dalam hidup manusia yang beriman dengan Allah dan Rasul-Nya.

Sabda Nabi S.A.W. "Setiap doa adalah terhalang, sehingga berselawat atas Nabi S.A.W."  (Hadis Riwayat Ad-Dailami)

Berselawat kepada Nabi S.A.W. bererti memperbesarkan dan mengagungkan serta mendukung perjuangannya yang mulia di samping melahirkan rasa syukur atas perutusannya yang menjadi rahmat seluruh alam ini, malah menambahkan keyakinan beramal dengan sunnahnya yang diredhai Allah S.W.T.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: "Dan tidaklah diutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekelian alam” (Surah Al-Anbiyak:107). Firman Allah S.W.T. lagi yang bermaksud: "Maha Memberkati Tuhan yang menurunkan Al-Furqan kepada hamba-Nya (Muhammad) untuk menjadi peringatan dan amaran bagi seluruh alam” (Surah Al-Furqan:1)

Dengan melazimi berselawat kepada Nabi S.A.W., insya Allah kaum muslimin tergolong sebagai mereka yang akan mendapat keistimewaan dan mempunyai kedudukan yang terdekat dengan Nabi S.A.W. bersama-sama para sahabatnya pada hari kiamat kelak.

Sabda Nabi S.A.W. "Sesungguhnya seutama-utama manusia (orang terdekat) dengan aku pada hari kiamat adalah mereka yang lebih banyak berselawat kepadaku." (Hadis Riwayat An-Nasaie & Ibnu Hibban)



B. Kelebihan Selawat

Selawat kepada Nabi S.A.W. adalah merupakan ibadah yang mulia dan terpuji, mengandung berbagai-bagai kelebihan dan mendapat pertolongan dan perlindungan yang istimewa dari Nabi S.A.W. serta memperolehi ganjaran yang besar dari Allah di hari akhirat kelak. Diantara kelebihan selawat adalah seperti berikut:

1. Mendapat Syafaat Nabi S.A.W.

Sabda Nabi S.A.W. "Barang siapa yang berselawat kepadaku pada waktu pagi sepuluh kali dan pada waktu petang sepuluh kali, ia akan memperolehi syafaatku pada hari kiamat." (Hadis Riwayat At-Tabrani)

Sabda Nabi S.A.W. "Barangsiapa berziarah kekuburku maka baginya wajib menerima syafaatku." (Hadis Riwayat Ibnu Adi & Al-Baihaqi)


2. Mendapat perlindungan dan pembelaan dari Nabi S.A.W.

Sabda Nabi S.A.W. "Barangsiapa berselawat kepadaku di sisi kuburku maka aku mendengarnya, barangsiapa berselawat kepadaku dari jauh maka selawat itu diserahkan oleh seorang malaikat yang menyampaikan kepadaku dan ia dicukupi urusan keduniaan dan keakhiratan dan aku sebagai saksi dan pembela baginya." (Hadis Riwayat Al-Baihaqi dan Al- Khatib)


3. Mendapat keampunan dosa dari Allah.

Sabda Nabi S.A.W. "Barangsiapa yang berselawat kepadaku satu kali, maka Allah berselawat kepadanya sepuluh kali selawat dan Allah menghapus sepuluh kesalahan (dosa) dan mengangkat sepuluh darjat kepadanya." (Hadis Riwayat Ahmad, An-Nasaie & Al-Hakim )

Sabda Nabi S.A.W. "Barangsiapa berselawat kepadaku pada hari Jumaat dua ratus selawat, maka diampuni baginya dosa dua ratus tahun." (Hadis Riwayat Ad-Dailami)

Sabda Nabi S.A.W. dari Ubai bin Ka’ab: "Aku bertanya, wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku memperbanyak selawat, maka berapakah aku jadikan untukmu dari selawatku? Nabi bersabda: Apa yang kamu kehendaki. Ia berkata: kataku: "Seperempat." Sabda Nabi: "Apa yang kamu sukai dan jika kamu tambah maka itu yang lebih baik bagi kamu”. Kataku: "Apakah sepertiga?" Sabda Nabi: "apa yang kamu sukai,jika kamu tambah itulah yang lebih baik bagi kamu." Ia bertanya: "Apakah aku jadikan selawatku buatmu semuanya." Nabi bersabda: "Jika demikian maka dicukupilah cita-citamu dan diampuni dosamu." (Hadis Riwayat Ahmad, At-Tirmizi & Al-Hakim)

Sabda Nabi S.A.W. "Barangsiapa yang berselawat kepadaku dari umatku, maka dicatat baginya sepuluh kebaikan dan dihapuskan darinya sepuluh dosa."  (Hadis Riwayat Ibnu Hibban)

Sabda Nabi S.A.W. "Telah datang kepadaku utusan dari Tuhanku Azza Wa Jalla maka dia (Jibril) berkata: Barangsiapa yang mengucapkan selawat kepadaku dari muatmu, Allah S.W.T. mencatat baginya sepuluh kebaikan dan menghapuskan darinya sepuluh dosa dan mengangkat Allah baginya sepuluh darjat dan menolak Allah atasnya (membalas) yang seumpamanya." (Hadis Riwayat Ahmad)

Sabda Nabi S.A.W. "Berselawatlah kamu kepadaku, kerana selawat itu menjadi zakat (penghening jiwa & pembersih dosa) bagimu." (Hadis Riwayat Ibnu Murdawaih)


4. Mendapat Rahmat dari Allah.

Sabda Nabi S.A.W. "Barangsiapa berselawat kepadaku satu kali, maka Allah menurunkan rahmat kepadanya sepuluh kali." (Hadis Riwayat Muslim)

Sabda Nabi S.A.W. "Barangsiapa berselawat kepadaku di hari Jumaat seratus kali maka ia datang di hari Kiamat dengan cahaya, sekiranya dibahagi antara makhluk semuanya maka cahaya itu akan memenuhinya." (Hadis Riwayat Abu Nu’aim)


5. Mendapat Hajat Dunia & Akhirat

Sabda Nabi S.A.W. "Barangsiapa berselawat kepadaku dalam sehari seratus kali, maka Allah datangkan baginya seratus hajat, tujuh puluh untuk akhirat dan tiga puluh untuk di dunianya."  (Hadis Riwayat Ibnu Majar dari Jabir R.A.)


6. Digembirakan Dengan Syurga

Sabda Nabi S.A.W. "Barangsiapa berselawat kepadaku dalam sehari seribu kali, maka ia tidak akan mati sehingga ia digembirakan dengan syurga" (Hadis Riwayat Abu As-Syaikh dari Anas R.A.)

Sesungguhnya amat beruntunglah mereka yang sentiasa berselawat ke atas Nabi dengan menjadikannya sebagai wirid dan amalan harian dalam hidupnya. Sebaliknya amatlah rugi dan tercelanya mereka yang tidak mahu membaca selawat kepada Nabi S.A.W. dalam hidupnya.

Sabda Nabi S.A.W. "Hinalah hidung orang yang ketika disebutkan namaku tidak membaca selawat kepadaku." (Hadis Riwayat At-Tirmizi)

Sabda Nabi S.A.W. "Orang yang bakhil ialah yang disebut namaku kepadanya lalu ia tidak mahu berselawat kepadaku." (Hadis Riwayat At-Tirmizi)



C. Antara Faedah–faedah Selawat

Di dalam kitab Ibnu Farhun Al-Qurthubi dinyatakan bahawa membaca selawat kepada Nabi S.A.W. mengandungi sepuluh macam faedah dan mendatangkan kemuliaan iaitu:

1.  Memperolehi selawat dari Tuhan Penguasa Alam
2.  Memperolehi syafaat dari Nabi S.A.W.
3.  Mendapat pimpinan dari malaikat yang baik-baik
4.  Menghapuskan dosa
5.  Mendapat pertolongan dan tercapai keperluan hidup
6.  Mempunyai pembeza dengan orang munafik dan kafir
7.  Memperolehi nur lahir dan batin
8.  Mendapat keselamatan dari azab neraka
9.  Membolehkan memasuki syurga
10. Memperolehi ucap selamat dari Allah


Menurut para ulamak yang berdasarkan keterangan-keterangan hadis, bahawa membaca selawat kepada Nabi S.A.W. akan memperoleh berbagai-bagai faedah yang amat besar, di antaranya :

1.  Memperolehi limpah rahmat dari Allah
2.  Ditulis sepuluh kebajikan
3.  Dihapuskan sepuluh kesalahan
4.  Diangkat sepuluh darjat
5.  Memperolehi kesempurnaan iman
6.  Menjauhi dari kerugian dan penyesalan
7.  Tergolong sebagai mereka yang soleh
8.  Mendekatkan diri kepada Allah S.A.W.
9.  Memperolehi syafaat Nabi S.A.W.
10. Memperolehi hubungan yang rapat dengan Nabi S.A.W.
11. Menghilangkan kesusahan dan melapangkan rezeki
12. Melapangkan dada dan mententeramkan jiwa
13. Menghapuskan dosa dan menutupkan aib
14. Terselamat dari kebingungan di hari akhirat
15. Menjadi sedekah bagi yang tidak mampu bersedekah
16. Terhindar dari kefakiran
17. Dipandang sebagai orang yang mencintai Nabi S.A.W.
18. Memperolehi keberkahan dalam hidup
19. Terhindar dari mereka yang bakhil
20. Menjadikan sebab doa diterima oleh Allah S.W.T.
21. Memudahkan jalan bagi memasuki syurga
22. Menjadi zakat dan pembersih diri
23. Memperolehi selawat dari Allah dan para malaikat
24. Memperolehi pujian seluruh makhluk di bumi dan di langit
25. Memenuhi hak Nabi sebagai suatu tugas ibadah
26. Memperolehi petunjuk dan menghidupkan hati
27. Tergolong dalam mereka yang tidak melupai Nabi S.A.W.
28. Menghilangkan rasa dahaga dan panas matahari Padang Mahsyar
29. Dapat meneguhkan telapak kaki ketika meniti Titian Sirat di akhirat
30. Terkabul segala hajat dan cita-cita



D. Selawat Dan Salam Ke Atas Nabi Selepas Solat

Seperti yang kita ketahui, Imam besar mazhab kita, Al-Imam As-Syafe'i telah menggariskan bahawa selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad S.A.W. adalah sebahagian daripada rukun solat. Dalam ertikata lain, ibadah yang terutama dalam hidup kita selepas kita menjadi seorang muslim dengan mengucapkan kalimah tayyibah - la ilaha illAllah, tidak akan sah melainkan dengan selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad S.A.W. dan ahli keluarga baginda. Bahkan adalah sepakat Ulamak bahawa membaca selawat adalah satu amalan sunat yang sangat-sangat dicintai (mustahab).

Seperti yang disebutkan terdahulu firman Allah S.W.T. yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah S.W.T. dan para Malaikat-Nya berselawat kepada Nabi. Maka, wahai mereka yang beriman berselawatlah kamu kepadanya dan ucaplah salam penghormatan kepadanya dengan sebaik selawat dan salam." (Surah Al-Ahzab:56)

Ayat ini menjadi dalil bahawa berselawat itu adalah tuntutan dan sangat mustahab pada setiap masa dan ketika. Bahkan, tuntutan yang dinyatakan meminta kepada selawat dan salam yang sempurna dan sebaik-baiknya.

Mungkin ada yang tertanya-tanya, apakah boleh dibaca selawat selepas solat memandangkan tiada dalil-dalil yang khusus mengenainya. Jawapannya, kesepakatan ulamak pada membacanya dalam solat dan sunat lagi mustahab membacanya pada bila-bila masa, menjadi dalil bahawa sudah tentulah ia juga boleh dibaca selepas solat.

Seterusnya, sudah disepakati bahawa adalah sunat dan mustahab untuk sekelian umat Islam berdoa selepas solat, sedangkan tidaklah sempurna berdoa itu melainkan dengan berselawat dan salam ke atas Nabi S.A.W.

Seperti yang disebutkan terdahulu lagi, sabda Nabi S.A.W. "Setiap doa adalah terhalang, sehingga berselawat atas Nabi (Nabi Muhammad S.A.W.)"  (Hadis Riwayat Ad-Dailami)

Seterusnya, sabda Nabi Muhammad S.A.W. "Tidak duduk satu kaum dalam satu majlis, dan mereka tidak berzikir kepada Allah dan berselawat ke atas Nabi mereka (Nabi Muhammad S.A.W.) melainkan penyesalan akan menimpa mereka. (Hadis Riwayat At-Tirmizi - Hadis Hasan Sahih; dan Riwayat Ahmad)

Dalam kitab Jilaul Afham, Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah menyatakan bahawa antara masa-masa yang baik untuk berselawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W. ialah selepas menunaikan solat.

Beliau berkata: Al-Hafiz Abu Musa dan lain-lain menyebutkan sedemikian dan mereka tidak menyebutnya kecuali dengan sebuah kisah yang diriwayatkan oleh Abu Musa Al-Madini daripada 'Abdul Ghani Bin Sa'id, beliau berkata: Aku mendengar 'Ismail Bin Ahmad Bin 'Ismail Al-Hasib berkata: Abu Bakar Muhammad Bin 'Umar memberitahu aku bahawa beliau berkata: pada suatu masa aku berada di sisi Abu Bakar bin Mujahid, lalu As-Syibli datang dan Abu Bakar Bin Mujahid bangun lantas memeluknya serta mengucup dahinya. Aku pun berkata kepadanya: Wahai tuan! Adakah patut dibuat sebegini kepada As-Syibli, sedangkan engkau dan semua orang di Baghdad menganggapnya sebagai seorang yang gila?

Lalu beliau berkata kepadaku: Aku melakukan kepadanya sebagaimana Rasulullah S.A.W. melakukan kepadanya oleh kerana aku telah melihat Rasulullah S.A.W. dalam mimpi, dan As-Syabili sedang datang, lalu baginda bangun dan mengucup dahinya. Lantas aku berkata: Wahai Rasulullah! Mengapakah Tuan melakukan sebegini kepada As-Syibli? Lalu baginda bersabda: Orang yang membaca selepas solatnya "Laqad ja akum rasulum min anfusikum... (dua ayat akhir Surah At-Taubah sehingga tamat surah itu)" dengan diikuti berselawat ke atasku.

Dalam riwayat lain baginda bersabda: Dia tidak pernah solat fardhu melainkan dia akan membaca selepas solat itu "Laqad ja akum rasulum min anfusikum... (dua ayat akhir Surah At-Taubah sehingga tamat surah itu)" dan dia berselawat "Sallallahu 'alaika ya Muhammad!".

Lalu apabila aku pergi menemui As-Syibli, aku bertanya kepadanya tentang apa yang diamalkannya selepas solat. Beliau lalu menyebut sama seperti apa yang aku mimipikan. (Wallahu A'lam - Tamat).

Saya tidak akan menyebut fadhilat membaca dua ayat terakhir Surah At-Taubah buat kali ini. Insya Allah, kalau ada kelapangan, saya akan menulis pula mengenainya.

Apa pun, adalah jelas berdasarkan dalil-dalil yang kuat dan terang dengan penerangan dan huraian berdasarkan dalil-dalil yang lainnya serta kisah di atas bahawa selawat dan salam ke atas Nabi S.A.W. adalah sunat dan mustahab dibaca pada bila-bila masa sekalipun dan ia meliputi waktu selepas membaca tahiyyat, selepas solat, di dalam doa, sama dapat pergi atau tidak menziarahi kubur Nabi S.A.W.

Saya cukup yakin bahawa di masa-masa biasa yakni bukan selepas solat, ramai yang akan kesibukan dengan urusan masing-masing dan akan terlupa, jika tidak lalai dan leka, untuk berzikir dan berdoa mahupun berselawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W. Justeru, manfaatkanlah 5-15 minit selepas solat untuk tujuan mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. dan RasulNya Nabi Muhammad S.A.W.

Sebaik-baik selawat dan salam ialah yang sempurna yang contohnya adalah seperti yang selalu dibaca di dalam solat sebaik sahaja selepas membaca tahiyyat dan bersyahadah. Allahumma solli 'ala Sayyidina Muhammad wa 'ala ali Sayyidina Muhammad.

Semoga kita semua beroleh berkat, rahmat dan syafaat dalam mengamalkannya. Allahu A'lam.

No comments:

Post a Comment