Pages

Sunday, July 19, 2009

SIAPA ALLAH

Soalan: Siapakah Allah? PDF Print E-mail

JAWAPAN:

drdanialdipwtcBenar. Tuhan bagi orang-orang Islam ialah Allah. Itulah nama yang diberitahu Allah kepada manusia melalui rasul-rasulnya sejak dahulu lagi. Dalam bahasa Arab kalimat Allah, mengikut Hans Wehr A Dictionary of Modern Written Arabic (Macdonald & Evans Ltd, London, 1974), didefinisikan sebagai “God (as the One and Only)”.

Ia bermaksud Allah Dialah satu-satunya Tuhan (yang layak di sembah). Justeru kalimat Allah tidak boleh ditujukan kepada tuhan yang mempunyai pelbagai sekutu seperti anak dan isteri.

Ilaah dan Allah

Sebenarnya dalam bahasa Arab, kalimat yang sering digunakan bagi maksud tuhan ialah ilaah. Jika kalimat ilaah digunakan tuhan yang dimaksudkan boleh wujud dalam bentuk lelaki dan perempuan, iaitu, ilaah bagi tuhan lelaki dan ilaahah bagi tuhan perempuan.

Kalimat ilaah juga boleh bertukar kepada bentuk jamak (banyak), iaitu aalihah, untuk menunjukkan bahawa tuhan ilaah tidak semestinya esa.

Namun apabila kalimat Allah digunakan, ia tidak menerima sebarang penambahan. Justeru, kalimat Allah berdiri dengan sendirinya, tidak ada Allah lelaki dan tidak ada Allah perempuan. Kalimat Allah juga tidak boleh berubah kepada bentuk jamak sekali gus menunjukkan bahawa Allah hanya wujud dalam bentuk yang esa.

Begitulah Allah. Dia tidak menyerupai makhluknya dan tidak menyamai dengan sesuatu yang baharu. Dalam surah As-Syura ayat 11 Allah berfirman, “Tiada sesuatu pun yang sebanding dengan Dia dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”

Dalam surah al-Baqarah ayat 255 pula, Allah menceritakan tentang dirinya yang bermaksud, “Allah, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia Yang Hidup kekal lagi terus menerus mengurus (makhluknya); Dia tidak mengantuk dan tidak tidur. Kepunyaannya apa yang ada di langit dan di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisi Allah tanpa izinnya. Dia yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, dan mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari ilmu Allah melainkan apa yang dikehendakinya. Korsinya (kekuasaannya) meliputi langit dan bumi. Dan tidaklah berat bagi Allah untuk menjaga serta memelihara keduanya, dan Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.”

Tambahan daripada itu, dalam surah al-Ikhlas ayat 1-4, Allah berfirman, “Katakanlah: ‘Dialah Allah Yang Maha Esa, Allah adalah Tuhan yang bergantung kepadanya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan, dan tidak ada sesiapapun yang setara dengannya’.” Justeru, pada bahagian pertama ucapan dua kalimah syahadah, orang-orang Islam wajib mengakui bahawa tuhan yang mereka sembah hanyalah satu, iaitu Allah. Tuhan-tuhan dalam bentuk yang lain hanyalah merupakan tuhan-tuhan palsu belaka.

Allah Tuhan Alam Semesta

Allah, dengan ciri dan sifat yang telah dinyatakan sebelum ini, sebenarnya merupakan Tuhan bagi segala-galanya. Dalam surah al-Fatihah ayat 2, Allah berfirman, “Segala puji-pujian bagi Allah, Tuhan (yang menguasai) sekalian alam. Demikian juga, dalam surah Maryam ayat 65 Allah berfirman, “(Allah) Tuhan (yang menguasai) langit dan bumi serta segala yang ada antara kedua-duanya, maka sembahlah Dia dan berteguh hatilah dalam beribadah kepadanya.”

Allah juga merupakan Tuhan bagi semua manusia, bukan sekadar Tuhan bagi umat Islam sahaja. Hal ini dijelaskan dalam surah al-Alaq ayat 1-2 yang bermaksud, “Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia menciptakan manusia dari segumpal darah.”

Kenyataan ini diperkukuhkan oleh ayat 1-2 yang terdapat dalam surah an-Nas yang bermaksud, “Katakanlah: ‘Aku berlindung kepada Tuhan (yang memelihara dan menguasai) sekalian manusia. Raja bagi manusia’.”

Tambahan daripada itu, rasul-rasul yang diutus, sejak dahulu lagi, mengajak manusia agar mereka menyembah Allah. Hal ini difirmankan Allah dalam surah an-Nahl ayat 36, “Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Rasul pada setiap umat (untuk menyeru): ‘Sembahlah Allah dan jauhilah Taghut (syaitan)’.”

Nukilan Dr. Danial bin Zainal Abidin (MBChB Alexandria)

MINDA SUPER