Pages

Sunday, September 13, 2009

SELAMAT HARI RAYA


Saya memohon sejuta kemaafan seandainya selama saya mengajar awak semua ada salah dan silap. Apa yang baik itu datang dari Allah jua apa yang kurang itu adalah dari kelemahan diri saya sendiri sebagai hamba Allah yang Dhaif.

salam sayang di Aidil Fitri, Moga disambut dengan kemeriahan dalam keberkatan, namun jangan lupa pertarungan dengan PMR yang akan kalian lalui 7 Oktober nanti. Bergembira sambil beringat.

kalian sentiasa ku maafkan. Doaku semoga kalian berjaya di dunia dan di akhirat. Semoga Allah merahmati hidup kita semua. Amin ya Rabbal Alamin.

SALAM SAYANG LILLAHI TAALA DARI USTAZAH BUAT ANAK DIDIK YANG TERISTIMEWA.

Ramadhan, pilunya berpisah denganmu



Cepatnya masa berlalu, tak sedar Ramadhan sudah hampir ke penghujung, ada yang gembira ada yang bersedih. Yang bergembira kerana hendak menyambut Hari raya, Yang bersedih kerana bimbang apakah mungkin akan bertemu lagi dengan Ramadhan di tahun depan.

Bagi orang-orang yang beriman berakhir nya Ramadhan diiringi dengan seribu kepiluan, kesedihan dan pengharapan. kalau boleh biarlah Ramadhan berlaku sepanjang tahun, kerana terasa ruginya jika membiarkan sesaat yang berlalu dalam ramadhan dengan pahalanya yang berganda, apatah lagi dengan adanya Lailatul Qadr yang kelebihan beramal di malamnya menyamai seribu bulan.
buat anak didikku yang tersayang, gunakalan sepuluh malam yang terakhir ini sebaiknya. berdoalah, beristighfarlah, mohonlah kepada Allah dikesempatan yang mungkin tidak akan datang lagi .. Rasakan di hati bahawa Ramadhan ini bagaikan Ramadhan yang terakhir buat kita agar kita penuhinya dengan kesungguhan dalam beramal ibadat, agar ikhlas hadir di dalam jiwa kita. Ikhlas itu adalah rahsia ALLAH hanya dikurniakan kepada hambanya yang terpilih sahaja.

PMR ,memang tak sampai sebulan saja lagi, walaupun begitu janganlah buat alasan study takut tak sempat sehingga terawih tidak buat, Al-Quran tidak baca, percayalah anak didikku sayang sekuat mana pun kamu belajar tanpa izin Allah tak mungkin kejayaan itu akan menjadi milikmu. Selagi kalian menjaga amal ibadat kepada Allah selagi itulah Allah akan menjaga kalian dan memberi anugerah kejayaan.

Ramai manusia berfikiran tak cukup masa sehingga meninggalkan ibadat solat akhirnya tidak kemana, kerana mereka lupa yang memberi rezeki itu adalah Allah, bukan bergantung kepada usaha kita semata-mata.

Kalian Wajib yakin dengan Allah. itulah kunci kepada kejayaan hakiki. berusaha itu memang dituntut, namun apa yang disyariatkan wajib ditunaikan barulah usaha itu diiringi dengan keberkatan. Apakah kalian tidak percaya dengan berkat dan rahmat Allah. sesungguhnya Berkat dan Rahmat Allah lah yang membuatkan kita masih boleh menyedut udara yang segar. melihat keindahan alam dan malam nan indah, mendengar alunan pengubat jiwa, dengan rahmat Allah lah kita masih menyedut nafas. sesaat Allah tidak izinkan kita tak mungkin merasa kelazatan menyedut nafas menyambung kehidupan.

Di kesempatan Ramadhan sepuluh yang terakhir ini carilah Lailatul Qadr. Siapa tahu kalian termasuk dalam golongan yang beruntung dianugerahkan AL-Qadr. Tiada siapa tahu untung nasib seseorang kerana ianya tersimpan dalam rahsia Allah. Kerana itu berusahalah untk mendapatkannya. Allah hanya akan menganugerahkannya kepada hambanya yang benar-benar ikhlas dan berusaha.


mungkinkah kalian berfikir bahawa kalian masih muda maka tak perlu kejar dulu, nanti bila dah tua buatlah amal ibadat. Itulah kesilapan yang terdidik dan tertanam dalam kepala kita orang melayu sejak dulu. sebenarnya masa muda inilah peluang yang sepatutnya digunakan untuk beramal ibadat kerana belum lagi di selubungi kesibukan tanggung jawab, otak masih cerdas, ingatan masih kuat, lidah masih lembut. badan masih sihat. kalu dah tua semua itu sudah hilang, dan yang paling utama apakah kita tahu kita ini matinya bila.? kesempatan ketika hidup inilah nak digunakan, kerana mungkin sesaat lagi kita dijemput TUHAN yang menciptakan kita.

Nasihat ini adalah untuk kita semua, buat diri saya sendiri dan buat awak semua tanda kasih dan sayang nya saya pada awak semua. bukan kasih ertinya seandainya tidak mengingatkan kepada akhirat. bukan sayang maknanya sekiranya saya membiarkan awak semua terleka dengan kealpaan remaja yang jiwanya sedang memberontak mencari identiti diri. Identiti tak perlu dicari kerana kita adalag muslim. Maka Identiti kita adalah muslim. Kenapa mengikut identiti barat yang lari dari Islam. jangan kalian cemari agama Islam yg kalian anuti dengan melanggar apa yangtelah disyariatkan Allah.

Bila solat kalian tidak tunaikan, islam kalian telah goyah, bila aurat rambut , badan kalian dedahkan iman kalian telah goyah, kerana saat itu kalian tidak ada tanda yang kalian adalah Islam. pada pandangan mata, kalian tidak ada beza dengan orang kafir. Bila kalian mula berduaan dengan lelaki dan perempuan berduaan disitulah syaitan berperanan, kalian telah melanggar syariat Allah dengan melakukan dosa besar. hentikanlah. sebelum dosa itu berlanjutan.

"Ya Allah ampunilah pelajar2ku, berilah mereka petunjuk."

Dunia akhir zaman ini terlalu banyak fitnah yang berlaku. Hindarilah kami dari fitnah itu.

" Ya Allaaaaaaaah , sesungguhnya aku amat takut akan azab seksa api nerakamu. bantulah aku, berikan aku kekuatan untuk menghadapi godaan dunia kealpaan akhir zaman ini. Yang Allaaaaaaah aku merayu dan merintih memohon keampunan dan redhaMU dan rahmatMU. Hanya dengan IzinMu aku mampu menghadapi semua dugaan ini. Berikan aku kekuatan untuk membimbing anak didikku, agar mereka menjadi hambamu yang soleh, berikanlah aku kekuatan untuk saling mengingatkan agar kami terhindar dari alpa dan leka dari mengingatiMU.

"Tunjukkan kami jalan yang lurus yang membawa kami hampir kepadaMU , dikesempatan hidup ini, hanya hidayahMU yang membimbing kami meneruskan kehidupan mencari redhaMU. "

"Dikesempatan ramadhan yang sudah hampir ke penghujung ini ku memohon diberikan kekuatan untuk melaksanakan amal ibadah, yang akan mendekatkan diriku kepadaMU" Kosongnya jiwaku seandainya berjauhan dariMu. Biar airmata ini menangis kerana dosa yang telah dilakukan, biar hati ini merintih kerana kealpaan dari mengingatiMU, biar bibir ini bergetar merayu keampunan darimu. Kerdilnya aku dihadapanMU ya Rabb. hinanya aku disisimu oleh dosa-dosa, Ya Ghafur ya Rahim Ampuni dosaku, kasihani diriku. Apakah yang lebih bernilai dalam kehidupan ini selain dari mendapat keampunan dan rahmat dariMU.Amin ya Rabbal A-lamin"