Pages

Sunday, May 30, 2010

persoala n tentang Tuhan

Bismillahir Rahmanir Rahim.

Segala puji bagi Allah, Tuhan Sekelian Alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kita, Nabi Muhammad SAW.

Hari ini kita banyak dikelirukan dan disalahfahamkan tentang 'akidah Islam mana yang betul oleh individu dan golongan tertentu. Sehingga timbulnya pelbagai persoalan di hati dan fikiran tentang banyak perkara mengenai 'akidah manakah yang sepatutnya diikuti sebagai pegangan yang benar. Sampailah kepada segala persoalan mengenai Allah dan ketuhanan.

Walaupun telah ditegaskan bahawa mazhab 'aqidah yang diterima pakai oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah hanyalah yang telah dipersetujui dan disepakati iaitu Al-Maturidiyyah dan Al-'Asyairah, tetapi masih ramai daripada golongan kecil ini yang mengingkarinya. Mereka membuat dakwaan-dakwaan dengan mengambil sebahagian daripada dalil-dalil Al-Quran dan Al-Hadith tanpa disiplin iaitu tanpa mengambilnya secara menyeluruh. Lalu mulalah mereka membuat dakwaan-dakwaan yang akhirnya memerangkap diri dan umat Islam yang tersesat kerana mengikut mereka.

Umat Islam yang terperangkap akhirnya akan menjadi tertanya-tanya tentang Allah yang akhirnya membawa mereka kepada kesesatan. Antara contoh, ialah dakwaan-dakwaan tidak berasas bahawa Allah itu bersemayam di atas 'Arasy, duduk di atas Kursy, bertangan dan sebagainya. Sedangkan mereka itu mengambil daripada sumber-sumber yang tidak mentafsirkan dalil-dalil yang mereka gunakan dengan betul. Lantas berlakulah, menyifatkan Allah dengan sifat-sifat makhluk yang mana adalah bertentangan dengan 'aqidah yang benar.

Mereka menolak kaedah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menggariskan rumusan dalil-dalil dan sepakat ulamak secara menyeluruh kepada 20 sifat yang wajib dan 20 sifat yang  mustahil bagi Allah SWT tanpa ada ilmu dan kefahaman yang benar.  Mereka suka berdebat dan berhujah tanpa ada ilmu dan kefahaman serta guru yang hak. Ingatlah ada perkara yang boleh kita bawa berhujah dan ada perkara yang wajib kita imani berdasarkan kesepakatan ulamak dan dengan mengambil dalil-dalil secara menyeluruh dan bukan sebahagian-sebahagian sehingga membawa kepada kesesatan. Marilah kita lihat dan nilai kisah Imam Abu Hanifah di bawah ini, Fikirkan bagaimanakah kita akan mampu memberi faham kepada yang bukan Islam (kafir) dan yang tidak percaya kepada tuhan (ateis) tentang Islam, sekiranya kita menyamakan Alah dengan makhluk sama seperti mereka.

Pada zaman Imam Abu Hanifah, hiduplah seorang ilmuwan besar, ulamak atheis dari kalangan bangsa Romawi. Pada suatu hari, cendiakawan Atheis tersebut berniat untuk mengadu kemampuan berfikir dan keluasan ilmu dengan ulama-ulama Islam. Dia berniat hendak menjatuhkan sekelian ulamak Islam dengan berlawan hujah akal.  Dia mencabar sesiapa saja yang mahu berdebat dengannya dan berjaya menewaskan sekelian ramai ulamak.

Kemudian dia ke satu masjid. Setelah melihat sudah banyak manusia yang berkumpul di dalam masjid, orang kafir itu naik ke atas mimbar. Dan di antara saf-saf masjid bangunlah seorang laki-laki muda. Dialah Imam Abu Hanifah dan ketika sudah berada dekat di depan mimbar, dia berkata : “Inilah saya, hendak bertukar fikiran dengan tuan”. Mata Abu Hanifah berusaha untuk menguasai suasana, namun dia tetap merendahkan diri kerana usianya yang masih muda ketika itu. Abu Hanifah berkata, “sekarang apa yang akan kita perdebatkan!”.

Cendiakawan kafir itu kehairana akan keberanian Abu Hanifah yang masih muda itu, dia lalu memulai pertanyaannya :

Atheis : Pada tahun berapakah Tuhanmu dilahirkan?
Abu Hanifah : Allah berfirman “Dia (Allah) tidak dilahirkan dan tidak pula melahirkan”.

Atheis : Masuk akalkah bila dikatakan bahawa Allah adalah yang pertama dan tidak ada sesuatu sebelumNya? Pada tahun berapa Dia wujud?
Abu Hanifah : Dia (Allah) ada sebelum adanya sesuatu.
Atheis : Kami mohon diberikan contoh yang lebih jelas dari kenyataan itu!

Abu Hanifah : Tahukah tuan tentang perhitungan?
Atheis : Ya.
Abu Hanifah : Angka berapa sebelum angka satu?
Atheis : Tidak ada angka (sifar).
Abu Hanifah : Kalau sebelum angka satu tidak ada angka lain yang mendahuluinya, kenapa tuan hairan kalau sebelum Allah Yang Maha Esa Lagi Hakiki tidak ada sesuatu pun yang mendahuluiNya?

Atheis : Baik, dimanakah Tuhanmu berada sekarang? Sesuatu yang ada pasti ada tempatnya.
Abu Hanifah : Tahukah tuan bagaimana bentuk susu? Apakah di dalam susu itu keju?
Atheis : Ya, sudah tentu.
Abu Hanifah : Tolong perlihatkan kepadaku di mana, di bahagian mana tempatnya keju itu sekarang?
Atheis : Tidak ada tempat yang khusus. Keju itu menyeluruh meliputi dan bercampur dengan susu di seluruh bahagian.
Abu Hanifah : Kalau keju makhluk itu tidak ada tempat khusus dalam susu tersebut, apakah layak tuan meminta kepadaku untuk menetapkan tempat bagi Allah Ta’ala? Dia tidak bertempat dan tidak ditempatkan!

Atheis : Tunjukkan kepada kami zat Tuhanmu, apakah ia benda padat seperti besi, atau benda cair seperti air, atau menguap seperti gas?
Abu Hanifah : Pernahkan tuan mendampingi orang sakit yang akan meninggal?
Atheis : Ya, pernah.
Abu Hanifah : Sebelum ia meninggal, sebelumnya dia boleh berbicara dengan tuan dan menggerak-gerakkan anggota tubuhnya. Lalu tiba-tiba diam tak bergerak, apa yang menimbulkan perubahan itu?
Atheis : Kerana rohnya telah meninggalkan tubuhnya.
Abu Hanifah : Apakah waktu keluarnya roh itu tuan masih ada disana?
Atheis : Ya, masih ada.
Abu Hanifah: Ceritakanlah kepadaku, apakah rohnya itu benda padat seperti besi, atau cair seperti air atau menguap seperti gas?
Atheis : Entahlah, kami tidak tahu.
Abu Hanifah : Kalau tuan tidak boleh mengetahui bagaimana zat maupun bentuk roh yang hanya sebuah makhluk, bagaimana tuan boleh memaksaku untuk mengutarakan zat Allah Ta’ala?!!

Atheis : Baiklah, ke arah manakah Allah sekarang menghadapkan wajahnya? Sebab segala sesuatu pasti mempunyai arah?
Abu Hanifah : Jika tuan menyalakan lampu di dalam gelap malam, ke arah manakah sinar lampu itu menghadap?
Atheis : Sinarnya menghadap ke seluruh arah dan penjuru.
Abu Hanifah : Kalau demikian halnya dengan lampu yang cuma buatan itu, bagaimana dengan Allah Ta’ala Pencipta langit dan bumi, sebab Dia nur cahaya langit dan bumi.

Atheis : Kalau ada orang masuk ke syurga itu ada awalnya, kenapa tidak ada akhirnya? Kenapa di syurga kekal selamanya?
Abu Hanifah : Perhitungan angka pun ada awalnya tetapi tidak ada akhirnya.

Atheis : Bagaimana kita boleh makan dan minum di syurga tanpa buang air kecil dan besar?
Abu Hanifah : Tuan sudah mempraktikkanya ketika tuan ada di perut ibu tuan. Hidup dan makan minum selama sembilan bulan, akan tetapi tidak pernah buang air kecil dan besar disana. Baru kita melakukan dua hajat tersebut setelah keluar beberapa saat ke dunia.

Atheis : Bagaimana pula kebaikan syurga akan bertambah dan tidak akan habis-habisnya jika digunakan?
Abu Hanifah : Allah juga menciptakan sesuatu di dunia, yang bila dinafkahkan malah bertambah banyak, seperti ilmu. Semakin diberikan (disebarkan) ilmu kita semakin berkembang (bertambah) dan tidak berkurang.

Atheir: Ya! kalau segala sesuatu sudah ditakdirkan sebelum diciptakan, apa yang sedang Allah kerjakan sekarang?

Abu Hanifah: Tuan menjawab pertanyaan-pertanyaan saya dari atas mimbar, sedangkan saya menjawabnya dari bawah. Maka untuk menjawab pertanyaan tuan, saya mohon tuan turun dari atas mimbar dan saya akan menjawabnya di tempat tuan.

Ilmuwan kafir itu turun dari mimbarnya, dan Abu Hanifah naik di atas.

Abu Hanifah: Baiklah, sekarang saya akan menjawab pertanyaan tuan. Tuan bertanya apa pekerjaan Allah sekarang?

Ilmuwan kafir mengangguk.

Abu Hanifah: Ada pekerjaanNya yang dijelaskan dan ada pula yang tidak dijelaskan. PekerjaanNya sekarang ialah bahawa apabila di atas mimbar sedang berdiri seorang kafir yang tidak hak seperti tuan, Dia akan menurunkannya seperti sekarang, sedangkan apabila ada seorang mukmin di bawah yang berhak, dengan segera Dia akan mengangkatnya ke atas mimbar, demikian pekerjaan Allah setiap waktu”.

Para hadirin puas dengan jawapan yang diberikan oleh Abu Hanifah dan begitu pula dengan cendiakawan besar atheis tersebut. Akhirnya, dia mengakui kecerdikan dan keluasan ilmu yang dimiliki Abu Hanifah.

Nah tuan-tuan fikirkanlah sendiri. Apakah tidak dengan mengatakan Allah di langit, duduk atas Al-Kursy, ada atas Arasy, bertangan dan sebagainya tidak sesat lagi? Kembalilah kepada 'aqidah yang benar. Allah itu esa, wujud di mana Dia kehendakki tanpa ada pertalian dan kaitan dengan tempat dan masa, tidak menyerupai sesuatu yang baharu dan melaksanakan apa yang Dia kehendakki. Mahasuci Allah daripada bersifat dengan sifat-sifat makhluk dan menyerupai ciptaanNya sendiri.

Semoga Allah SWT menetapkan kita semua di atas jalanNya yang lurus lagi diberikan nikmat ke atas mereka daripada Para Nabi, Siddiqin, Syuhadak dan Solihin dan menjauhi kita semua daripada kemurkaanNya dan jalan orang-orang yang sesat. Amin.

Allahu A'lam.

No comments:

Post a Comment